Dalam kesibukan masyarakat kita hari ini, setiap saat menjadi begitu berharga sehingga ada yang tidak ada masa untuk memikirkan, apalagi mencari pasangan hidup. Konsep speed dating menjadi menarik di sini kerana ia menawarkan satu alternatif yang efisien untuk mencari pasangan dalam kalangan masyarakat yang sibuk. Walaupun konsep ini agak baharu dan mempunyai cabarannya tersendiri, rata-rata konsep ini ada pengikutnya kerana terbukti berkesan serta menyediakan platform yang selamat dan teratur untuk individu bertemu dan mengenali antara satu sama lain.
Namun, konsep ini diperkenalkan di Barat yang perlu ditangani dengan berhati-hati terutama oleh golongan Muslim. Fenomena speed dating mula popular di Barat pada akhir 1990-an dan telah mula diperkenalkan di Malaysia sekitar awal 2000-an. Ketika itu, ia sebagai sesuatu yang asing, kini speed dating mula diterima baik terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Penang, dan Johor Bahru.
Jika dilihat, ada istilah taaruf dalam Islam yang mungkin kita lihat ada persamaan dengan konsep speed dating ini. Speed dating dan taaruf adalah dua konsep yang serupa tetapi tidak sama. Ia serupa kerana speed dating dan taaruf kedua duanya bertujuan untuk mempertemukan individu yang mencari pasangan, tetapi pendekatan, prinsip, dan proses yang digunakan sangat berbeza. Speed dating lebih bebas dan kurang terikat dengan norma-norma agama, manakala taaruf adalah proses yang berstruktur dan beretika berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Bagi individu Muslim yang ingin mencari pasangan hidup, taaruf menawarkan kaedah yang lebih sesuai dan diberkati untuk mencapai matlamat tersebut.
Taaruf dalam Islam merujuk kepada proses berkenalan antara lelaki dan wanita dengan tujuan mencari pasangan hidup yang sah melalui perkahwinan. Berbeza dengan pergaulan bebas yang tidak terarah, taaruf dilaksanakan dengan penuh adab dan mematuhi hukum-hukum syariah. Ia adalah proses yang bermaruah dan beretika untuk memastikan hubungan yang dibina adalah kukuh dan diredhai oleh Allah.
Speed dating pula merupakan satu acara sosial di mana individu bertemu dengan beberapa calon pasangan dalam tempoh masa yang singkat, biasanya antara 3 hingga 8 minit. Pada penghujung setiap sesi, peserta menanda di dalam kad mereka jika mereka berminat untuk mengenali individu tersebut dengan lebih lanjut. Jika terdapat ‘padanan’, penganjur akan memberikan maklumat kontak untuk langkah seterusnya.
Platform Speed Dating ini membolehkan para peserta untuk berkenalan antara satu sama lain. Setiap wanita akan diberi masa untuk duduk bersama lelaki untuk berbual. Setelah tamat masa, peserta lelaki yang lain pula akan berkenalan dengan peserta wanita tersebut dan begitulah seterusnya.
Lain pula dengan cara bertaaruf mengikut Islam iaitu akan adanya penglibatan orang ketiga seperti wali, murabbi, mahram atau individu yang dipercayai sangat penting sebagai penengah dalam proses taaruf. Hal ini kerana, taaruf melarang lelaki atau perempuan untuk bertemu secara rahsia tanpa kehadiran orang lain serta taaruf juga berperanan penting dalam mengelakkan kita dan pasangan daripada terjerumus ke dalam perhubungan yang membawa kepada perbuatan zina.
Kesimpulannya, bagi golongan Muslim adalah digalakkan untuk bertaaruf yang bermatlamat akhir ke jinjang pelamin. Dalam Islam sendiri kita tidak dibenarkan untuk berpacaran, maka speed dating mungkin bukan penyelesaian sebenar untuk mencari pasangan sehidup semati lagi diberkati. Berhati-hati dalam pergaulan kerana adab tentang pergaulan telah diingatkan kepada kita menerusi hadis Rasulullah: “Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada fitnahnya kaum wanita.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)