Abdul Rashid Aziz @Dorashid
Abdul Rashid Aziz @Dorashid Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan Pengurusan
Dr. Nurhafizah Mohd. Sukor
Dr. Nurhafizah Mohd. SukorPensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Kini, rakyat Malaysia sedang berada dalam fasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dalam masa yang sama, graf statistik kes jangkitan Covid-19 juga menunjukkan berlakunya penurunan kes dari masa ke semasa. Taburan kes jangkitan Covid-19 sepanjang tempoh PKPP ini dilihat berkurangan.

Jumlah kes positif berada dalam julat 1-30 kes setiap hari berbanding jumlah kes sewaktu fasa awal PKP dan PKPB yang melibatkan ratusan kes positif. Justeru, setiap rakyat Malaysia tidak seharusnya mengambil langkah mudah dalam berhadapan wabak Covid-19 ini. Sikap alpa dan mementingkan diri sendiri akan mengundang masalah besar dalam mengekang penularan rantaian Covid-19 semasa fasa pemulihan ini.

Bertitik tolak dari hal ini, setiap individu perlu mengambil langkah proaktif dan menjalankan tangggungjawab masing-masing dalam memerangi virus Covid-19. Setiap dari rakyat Malaysia adalah wira negara. Kesepaduan rakyat Malaysia adalah penentu kepada kejayaan negara dalam membasmi wabak Covid-19. Jika sebelum ini, kita telah melihat pengorbanan besar barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan, polis dan tentera yang bertungkus lumus siang dan malam sewaktu penularan Covid-19 berada pada kemuncaknya. Kini, tibalah masa setiap dari rakyat Malaysia menjalankan peranan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini. Ironinya, masih ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang masih tegar dengan sikap sambil lewa dan tidak mengendahkan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Persoalannya sampai bila wabak ini harus bermaharajalela? Tidakkah kita mahu bebas dari ancaman virus ini?

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan semasa sidang media Majlis Perasmian Program PERKESO Prihatin Negara Selamat, bahawa penularan virus berbahaya ini masih belum menunjukkan tanda reda, malah masih banyak negara yang bergelut dengan peningkatan kes. Berikutan itu, beliau juga mengesyorkan agar PKPP yang bakal berakhir ini dilanjutkan sekiranya penularan wabak Covid-19 tidak dapat dikawal dengan baik. Justeru, setiap dari rakyat Malaysia tidak seharusnya leka dan mengambil tindakan sambil lewa terhadap setiap arahan dan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Hal ini kerana, kealpaan rayat Malaysia pastinya boleh menggugat kesejahteraan bersama.

Sepertimana kita semua sedia maklum, premis perniagaan sama ada restoran, pasar malam, pasar awam, dan gerai merupakan tempat kunjungan orang ramai. Oleh itu, risiko penyebaran Covid-19 amatlah tinggi sekiranya individu berada di kawasan seperti ini. Di antara SOP yang perlu dijalankan seperti pemakaian pelitup separuh muka kepada semua pekerja dan pelanggan, mengimbas maklumat dalam aplikasi MYSejahtera, mengambil dan merekod suhu badan, pengamalan penjarakan fizikal satu meter dengan mengambilkira aspek susun atur meja makan dan kerusi berjarak jauh perlu dipatuhi. Kegagalan mengikuti SOP ini akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa kepada pengusaha perniagaan. Dalam usaha memastikan para peniaga mematuhi SOP ini, diharapkan supaya mereka mematuhinya bukan hanya disebabkan rasa ‘takut’ dengan tindakan yang akan dikenakan tetapi sebaliknya adalah kerana kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka untuk membendung wabak ini.

Namun begitu, rentetan episod realiti yang menyedihkan berlaku apabila terdapat segelintir pengusaha makanan yang masih gagal mematuhi SOP sehingga premis mereka diarahkan untuk ditutup. Ini kerana, ramai antara mereka mengambil langkah mudah untuk mengaut keuntungan setelah lama terpaksa menutup premis pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Misalnya, tragedi kes yang berlaku seperti di Seberang perai di mana sebanyak 13 premis perniagaan telah diarahkan tutup selepas melanggar prosedur operasi standard yang ditetapkan. Selain itu, 19 lagi premis makanan di Kuala Langat dan Hulu Selangor turut diarah tutup dan menghentikan operasi perniagaan. Menurut, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, 11 premis ini ditutup mengikut Akta Makanan 1983, manakala lapan lagi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tambahan itu, kemunculan kes yang menggemparkan negara seperi kluster Sivagangga juga tidak harus dipandang enteng. Kes sebegini seharusnya tidak berulang lagi bagi memastikan keselamatan sejagat dari virus pembunuh yang telah meragut jutaan nyawa ini. Kemunculan kluster penyebaran virus dalam populasi besar ini menunjukkan wujudnya sikap ‘acuh tak acuh’ sesetengah individu yang boleh membahayakan masyarakat. Bahkan, mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan tanpa mengira status, pangkat dan darjat individu tersebut. Kegagalan individu ini dalam mematuhi perintah kuarantin sebelum menjalani ujian saringan ulangan menyebabkan ratusan individu lain turut berkemungkinan dijangkiti wabak pembunuh ini dan seterusnya mengundang kepada pertambahan jumlah kes jangkitan Covid-19. Adakah sikap sang wira begini yang diharapkan untuk mempertahankan kesejahteraan negara?

Tuntasnya, telah banyak kes jangkitan Covid-19 yang berlaku disebabkan oleh sikap sambil lewa, mementingkan diri sendiri dan tidak ada rasa tanggungjawab dalam masyarakat kita. Bangkitlah rakyat Malaysia. Ambil ikhtibar dan pengajaran daripada setiap kes yang berlaku. Slogan “Kita Jaga Kita” membawa makna besar yang perlu difahami oleh setiap individu. Kita perlu berganding bahu menjaga kebajikan dan kesihatan diri sendiri serta ahli keluarga dari dijangkiti Covid-19. Usaha kecil ini dapat membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19. Harapan untuk berjaya sifar kes Covid-19 boleh dicapai sekiranya kita masing-masing meletakkan tanggungjawab untuk bersama memerangi wabak ini. Walaupun kita adalah wira yang tidak didendang, amatlah besar makna dari tindakan kita dalam menyumbang kepada kesejahteraan bersama.