SEREMBAN, 14 Jun 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya (STAJA) Seremban, dan Pejabat Pendidikan Daerah Seremban telah menganjurkan Karnival ExploreSTREAM USIM-STAJA 2023 bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya.

Program yang menggabungkan elemen SULAM dan STREAM iaitu Sains, Teknologi, Agama/Keagamaan, Kejuruteraan, Kesenian, dan Matematik ini menyaksikan seramai 658 pelajar USIM bersama 1250 murid dari Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Mohd Said dan sekolah-sekolah jemputan lain sekitar Negeri Sembilan.

Sebanyak 11 kursus kurikulum dengan 51 modul dilaksanakan di bawah program-program pengajian di USIM merangkumi Fakulti Sains Teknologi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Shariah Undang-Undang, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah serta Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah.

Menurut Prof. Madya Dr. Siti Salhah Othman Pengarah, Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran, USIM berharap falsafah university dalam  mengintergrasikan ilmu Naqli dan Aqli ini bukan sahaja berlaku di USIM, malah kepada semua masyarakat. Ini kerana agama dan sains saling berkait dalam usaha melahirkan ilmuan Islam yang berpendidikan sepadu, mampu memimpin masyarakat majmuk.

Dalam pada itu, Encik Aziruddin Abdul Azizi guru besar STAJA berkata, selain belajar mengenai teori buku, murid-murid dapat belajar sesuatu yang baru dengan melakukan aktiviti secara langsung berkaitan STREAM.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua wakil dan pelajar USIM atas kerjasama yang erat dan baik dengan pihak STAJA dan berharap program seperti ini dapat diteruskan ke peringkat negeri”, ujarnya lagi.

Manakala, Muhammad Faris Akmal Mohd Nazri pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, berkongsi rasa teruja dan gembira kerana banyak ilmu-ilmu yang diperolehi dalam program ini. Beliau yang amat meminati bidang sains turut menyimpan Hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi di USIM kelak.

Selain itu, program ini turut mendapat sumbangan dari pelbagai pihak seperti Pusat Wakaf dan Zakat USIM, AEON BiG Putrajaya, SugarBomb, FastLab, Econsave dan SUTRA.

Disediakan oleh:
Saraina Kassim
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan