NILAI, 24 Februari 2020 – Program Kesedaran Kepentingan Pengurusan kewangan julung kalinya diadakan oleh Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia bertujuan meningkatkan kecelikan mengenai pengurusan kewangan dalam kalangan warga kerja termasuk para pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Mohamed Ridza Wahiddin hadir merasmikan bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Beliau berkata, program sebegini boleh memberi kesedaran mengenai kepentingan laporan kredit bagi seseorang individu. Selain itu, program ini turut memberi pendedahan berkaitan jenayah kewangan atas talian yang sedang berleluasa sehingga mengakibatkan mangsa penipuan mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

“Penganjuran program sebegini diharap memberi impak yang positif kepada warga kerja dan para pelajar USIM, justeru ambillah peluang daripada program ini untuk meningkatkan pengetahuan anda selain daripada menimba ilmu di bilik kuliah,” ucap Prof. Ridza Wahiddin.

Tambahnya lagi, pengurusan kewangan mungkin dianggap suatu istilah yang rumit dan konsep yang tidak mudah difahami oleh ramai orang. Namun demikian, jika bermula dengan bijak dan membahagikannya kepada langkah-langkah yang lebih kecil dan mudah, maka ia menjadi lebih mudah untuk mengawal cara anda berbelanja dan menyimpan wang.

Beliau menambah sebagai warga pendidik yang terkehadapan, warga USIM sewajarnya lebih peka dengan budaya pelaburan yang tidak sihat dan mampu memberikan kesan negatif terhadap kedudukan kewangan isi rumah dan boleh merosakkan institusi keluarga dan masyarakat. Ini menyedari bahawa Malaysia masih belum mempunyai tahap celik kewangan yang memuaskan, maka ujarnya pihak kerajaan melalui Bank Negara Malaysia harus konsisten menyediakan beberapa agensi khidmat nasihat dan bantuan pengurusan kewangan kepada mana-mana individu yang berkaitan.

Turut hadir adalah Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban, Timb. Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi; Dato’ Mohd Haizuan Rozali, Pendaftar USIM; Dato’ Hj Mohd Abd Rasid Mohd Fadzil, Bendahari USIM; Dr Mohd Shukor Harun, Pengarah PKUU; Dr Nur Ainna Ramli, Koordinator PKUU;  Puan Suhara Husni dari MOF. Turut dibuka adalah kaunter agensi semakan kredit kewangan secara percuma yang di kendalikan oleh pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), CTOS dan Bank Negara Malaysia.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan