NILAI – Selari dengan misi dan visi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat, satu aplikasi mudah alih yang berasaskan konsep pendidikan Islam Prasekolah oleh Al-Ghazali dan Nasih Ulwan iaitu Muslim Teachers’ Guide telah dibangunkan bertujuan untuk melahirkan generasi Rabbani.

Menurut Ketua Penyelidik Prof. Madya Dr. Nur Kareelawati Abd Karim, modul yang terdapat di dalam Muslim Teachers’ Guide adalah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Islam dan Kurikulum Standard Pendidikan Islam Prasekolah yang telah dikemaskini dan disemak oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

“Ia berdasarkan hasil penyelidikan kualitatif yang dijalankan oleh Kumpulan Penyelidik Muslims in Creative Media Industries (MiCMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertajuk Combining The Al-Ghazali Concept of Tarbiyatul Awlad with Qualitative Data Analysis to Develop an Islamic Content on Mobile Application for Preschool Educators”.

“Pembangunan aplikasi Muslim Teachers’ Guide dibiayai sepenuhnya oleh Regional Collaboration Research & Publication (RCRP) Grant [USIM/UKM/RCRP/FKP/052005/70817]”, ujarnya lagi.

Menariknya, aplikasi Muslim Teachers’ Guide bertujuan untuk memupuk tiga nilai utama iaitu Sayang, Tanggungjawab dan Hormat.

Dalam memupuk dan mendidik nilai kasih sayang, menanam sikap tanggungjawab dan rasa hormat boleh dibahagikan kepada lima (5) modul iaitu Akidah, Ibadah, Sirah, Akhlak dan Bahasa Al-Quran.

Modul ini bertujuan untuk membimbing murid prasekolah dalam penghayatan akidah Islam dalam kehidupan harian melalui penerapan nilai kasih sayang, menanam rasa tanggungjawab di dalam jiwa mereka, disamping memupuk sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Aplikasi mudah alih ini sangat signifikan ketika ini terutamanya ketika masyarakat mendepani krisis ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19 di mana penyampaian modul asas pendidikan Islam dapat membantu para guru dan ibu bapa mendidik anak-anak mereka dari rumah.

Para tenaga pengajar khususnya taska, tadika mahupun prasekolah boleh menggaplikasi modul ini dalam pengajaran dan pembelajaran mereka dengan melayari pautan https://m-tg.school/

Ahli Kumpulan:
Prof. Madya Dr. Nur Kareelawati Abd Karim (Ketua Penyelidik)
Dr. Suhailiza Md. Hamdani
Dr. Dini Farhana Baharudin
Dr. Eizan Azira Mat Sharif