BERANANG – Suasana ceria dan penuh kehangatan Aidilfitri menyerikan rumah terbuka Hari Raya yang berlangsung meriah di Hasanah Care Centre baru-baru ini. Majlis ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran seramai 19 orang pelajar daripada kelab Stracomm Clique yang turut serta memeriahkan sambutan tersebut bersama penghuni di Hasanah Care Centre pada 19 April 2025 baru baru ini.

Program ini bertujuan menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat kemasyarakatan dalam kalangan belia dan warga emas, di samping dapat menceriakan penghuni pusat jagaan sempena bulan Syawal.

Menariknya, StraComm Clique turut membawa juadah hidangan istimewa iaitu nasi lemak ayam sebagai tambahan kepada menu utama, selain juadah Hari Raya seperti lemang, rendang, ketupat dan kuih-muih yang turut disajikan kepada para tetamu.

Para pelajar bukan sahaja hadir sebagai tetamu, malah turut membantu dalam pengurusan sambutan Hari Raya tersebut. Mereka juga berinteraksi mesra dengan kira-kira 19 para penghuni, bertanya khabar dan berkongsi cerita. Kehadiran mereka berjaya mewujudkan suasana kekeluargaan yang cukup menyentuh hati.

Bagi memeriahkan lagi sambutan, Hasanah Care Centre turut membuat persembahan khas sempena Hari Raya, yang disambut dengan sorakan dan gelak tawa para penghuni serta tetamu yang hadir.

Sebagai tanda penghargaan, pengurusan Hasanah Care Centre telah menyampaikan sijil kepada peserta StraComm Clique sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan keprihatinan kelab dalam menganjurkan program bersama penghuni di sana.

Pengurusan Hasanah Care turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pelajar USIM yang sudi hadir serta memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini.

“Kehadiran, penglibatan dan sokongan anda amat kami hargai dan memberi impak yang besar dalam usaha kami menyantuni komuniti”, ujarnya lagi.

 

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar & Nur Fatin Atiqah Mokhtar