SEPANG –seramai 160 pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar kejayaan besar apabila menyertai MotoGP World Championship 2024 di Litar Antarabangsa Sepang sebagai ultras pada 3 November 2024 baru-baru ini. Mereka adalah sebahagian daripada 318 pelajar daripada Sekretariat Rakan Muda (SRM) yang juga disertai oleh KPJ Healthcare University Nilai, dan IKBN Pagoh.
Inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini bertujuan merancakkan penyertaan belia dalam aktiviti sukan permotoran bertaraf dunia, di bawah payung Rakan Muda.
Presiden SRM USIM, Nurul Haq bin Mohamad Syahid dari program Komunikasi Media Baharu Tahun empat berkata, SRM di bawah Program Rakan Muda Village telah diberi tanggungjawab sebagai ultras MotoGP, menghidupkan suasana perlumbaan dengan sorakan padu dan penuh semangat. SRM ini bukan sahaja berperanan menyemarakkan semangat di kalangan penyokong dan pelumba, tetapi turut berfungsi sebagai ikon belia yang mendukung nilai kesukanan, kerjasama, dan kepimpinan.
“Program ini yang juga sebahagian daripada inisiatif gaya hidup Rakan Muda Rakan Aktif, menjadi platform utama buat para peserta untuk menonjolkan kepimpinan dan kerja berpasukan dalam suasana yang penuh cabaran. Diiringi dengan sorakan bertenaga, para peserta dilihat mengenakan seragam serba hitam sambil mengibarkan bendera Rakan Muda, melambangkan perpaduan dan semangat solidariti belia Malaysia” ujar beliau lagi.
Pihak penganjur turut memuji disiplin dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang acara berlangsung. Mereka diiktiraf atas dedikasi dan tenaga positif yang mereka bawa ke dalam arena, sekaligus meningkatkan kualiti keseluruhan acara MotoGP di Sepang.
Nurul Haq menambah, penglibatan dalam MotoGP World Championship 2024 ini bukan sahaja memberi pengalaman yang tak ternilai kepada belia-belia IPT ini, tetapi juga memperkukuh kerjasama strategik antara KBS dan institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini secara langsung menyokong matlamat pembangunan belia negara, melahirkan generasi muda yang aktif, berdaya saing, dan berwawasan untuk menghadapi cabaran global.
“MotoGP di Sepang ini telah menjadi pentas terbaik buat belia untuk menonjolkan potensi mereka dan menghayati budaya kesukanan bertaraf dunia. Program seperti ini diyakini dapat memberi impak positif kepada golongan muda serta memupuk kecintaan terhadap sukan secara menyeluruh, seiring dengan misi negara ke arah kemajuan belia yang menyeluruh dan seimbang”.