NILAI –  bertemakan ‘dari wayang ke pentas seni’, Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni (KPPS) Pusat Kebudayaan USIM muncul dengan buah tangan istimewa kepada warga kampus.  Lagu tema asal (OST) daripada filem Polis Evo, Magika, Ombak Rindu  dan beberapa filem popular tempatan menjadi nadi inspirasi dalam persembahan  anjuran KPPS dengan kerjasama Pusat Kebudayaan USIM. Mempersembahkan Starfest buat pertama kalinya program ini berjaya menghimpunkan 120 peserta terdiri daripada kumpulan cak lempong, dikir barat, koir, muzik moden, nasyid, tarian, vocal ensemble, taranum dan beberapa lagi kumpulan kesenian lain yang terlibat.

Starfest  yang diadakan bertujuan mendekati warga kampus untuk memperkenalkan KPPS khususnya kepada pelajar di samping mengembangkan bakat dan kemahiran mereka dalam persembahan Seni Berbudaya.

Menurut Pengerusi KPPS, Saudara Amir Hamizan Abd Razak, pemilihan tema tersebut dibuat kerana generasi muda seharusnya menghargai dan membantu industri untuk mengangkat karya Melayu melalui lagu tema asal (OST) daripada filem tempatan dan jika dilihat lirik yang disampaikan mempunyai nilai budaya dan mesej yang baik kepada masyarakat. Saudara Amir juga menambah bahawa program ini merupakan perintis untuk KPPS lebih proaktif menganjurkan program atau aktiviti yang lebih menyeluruh dan mampu  disertai oleh mahasiswa dengan lebih ramai lagi.

Starfest disambut meriah dengan kehadiran 400 penonton terdiri daripada pelajar dan staf USIM. Persembahan setiap kumpulan  memberi kesan mendalam dan lebih bermakna apabila dinilai oleh komposer tersohor tanah air yang juga Karyawan Seni USIM iaitu Fauzi Marzuki dan Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya , Yazid Zakaria. Kedua-dua panel yang dilantik turut memberi komentar secara menyeluruh berkaitan mesej yang disampaikan melalui jalan cerita dan persembahan.

Acara Starfest juga turut dimeriahkan dengan beberapa penyampaian anugerah yang diberikan kepada kumpulan yang telah memberikan kerjasama dan kemampuan menghasilkan sebuah persembahan paling kreatif dan memukau penonton. Kumpulan Fansuri dianugerahkan Persembahan Terbaik, diikuti Tabuh Pendeta dan The Voices.  Bagi kategori Komitmen Terbaik dimenangi oleh kumpulan Pengurusan, Paling Kreatif  Tingkah Irama  dan anugerah Paling Gempak dimiliki oleh Perkusirama. Penyampaian anugerah telah disampaikan oleh Karyawan Seni USIM Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) bersama Ketua Unit Pengurusan Aktiviti dan Persembahan Seni, Arohiyah Abdullah.

Turut hadir menyaksikan persembahan Starfest terdiri daripada alumni-alumni USIM dan Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM.

 

oleh:
Musfirah Hussin & Siti Hawa Syafari
Kelab Penerbitan Kreatif Pusat Kebudayaan USIM