NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) menerima lebih RM2 juta kutipan zakat korporat dan infak daripada 25 syarikat korporat bagi tahun ini. Bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada semua penyumbang satu Majlis Apresiasi Barakah diadakan di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama yang berlangsung pada 14 November 2024 baru-baru ini.
Sebanyak RM2,649,825.70 telah diagihkan kepada sekurang-kurangnya 14,500 penerima manfaat dari kalangan pelajar dan kakitangan melalui ratusan program yang dianjurkan oleh pusat bertanggungjawab dan fakulti.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM Prof Dato Dr Adnan Mohamed Yusoff berkata, pada tahun ini, USIM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Wakaf Dana Al-Abrar dimana ahlinya terdiri daripada USIM, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dan wakil korporat dari Maybank Islamic Berhad dan Kenanga Islamic Investors Berhad.
“Setiap sumbangan yang diberikan, sama ada melalui zakat, wakaf, atau inisiatif-inisiatif endowmen, adalah tanda keprihatinan para penyumbang terhadap usaha memperkasa pendidikan Islam dan membela nasib Masyarakat”.
“Saya melihat dengan jelas bagaimana sumbangan-sumbangan ini menjadi sumber kekuatan kepada pelajar-pelajar kita, membuka peluang yang lebih luas kepada mereka untuk berjaya tanpa dibebani kekangan kewangan. Sesungguhnya, apa yang anda sumbangkan hari ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi ia adalah amanah yang akan terus memberi manfaat berpanjangan, dunia dan akhirat”, ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah PWZ USIM, Prof Madya Dr Mushaddad Hasbullah berkata, sumbangan zakat, wakaf dan infak yang diterima ini ternyata telah dapat meringankan beban pelajar-pelajar USIM yang 60 peratus daripadanya berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah atau B40.
“Sumbangan kesemua penyumbang memberi manfaat yang sangat besar kepada warga kampus, terutama pelajar-pelajar kita yang memerlukan sokongan kewangan”.
“Pada tahun ini kita telah menyalurkan bantuan zakat kepada seramai 1,807 orang asnaf dengan jumlah bantuan sebanyak RM1,261,122.50 melalui bantuan kesihatan, pendidikan, dan bantuan sara hidup”.
” USIM juga telah menyalurkan dana zakat melalui bagi 79 program fisabilillah berjumlah RM386,519.00. Sumbangan ini tidak termasuk bantuan infak untuk perubatan, makanan, bencana, program ihya’ Ramadan dan bantuan khas untuk pelajar palestin yang berjumlah RM171,839, ujarnya lagi.
Pada majlis yang sama turut dilancarkan Tabung Endowmen Ibnu Ummi Maktum USIM yang merupakan sebahagian daripada usaha USIM untuk memperluaskan manfaat endowmen kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang memerlukan sokongan dalam pelbagai aspek kehidupan, khususnya dalam pendidikan dan kebajikan.