NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan AirAsia Bhd menandatangani Surat Niat(LOI) yang akan membolehkan kakitangan dan para pelajar universiti ini menikmati pelbagai faedah dari syarikat penerbangan tambang murah itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah berkata antaranya ialah tiada penalti dikenakan jika berlaku perubahan tarikh dan masa dalam tempoh 24 sebelum penerbangan.

Kakitangan USIM juga kini akan menikmati Waran Perjalanan Udara Awam seperti yang dinikmati penjawat awam, yang sekaligus memudahkan urusan perjalanan udara.

“Dengan jumlah kakitangan seramai 1,300 orang, LOI ini amat penting kerana ia juga akan menjimatkan perbelanjaan untuk perjalanan udara kakitangan USIM” katanya semasa berucap pada majlis itu di sini.

Dalam pada itu Mohamed Asin berkata AirAsia juga diharap dapat memanjangkan faedah lain kepada para pelajar USIM memandangkan sebanyak 30 program ‘Global Islamic Student Outreach’ ke 30 negara telah direncana pada tahun ini.

Sementara itu, AirAsia yang diwakili Ketua Serantau Pembangunan Kerajaan dan Timur Tengahnya, Dato’ Abdul Nasser Abu Kassim berkata, LOI ini diharap dapat membantu USIM mengurangkan kos penerbangan seluruh warga universiti ini.

Sumber:  BERNAMA