ROMPIN, 8 Oktober 2022- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meluaskan jangkauan khidmat komunitinya melalui penglibatan dalam siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober 2022 di sekitar Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Antara penglibatan USIM dalam siri jelajah ini adalah program outreach ‘KPT Prihatin Komuniti Sejahtera’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Fakulti Pergigian USIM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang diadakan di Kg. Orang Asli Panchor, Rompin, Negeri Sembilan.

Seramai 40 staf dan pelajar Fakulti Pergigian melakukan rawatan tampalan dan cabutan gigi secara percuma, selain pemeriksaan tekanan darah dan kandungan gula dalam darah dengan melibatkan kira-kira 300 penduduk kampung tersebut.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik lain yang diadakan seperti permainan mini sukaneka, pertandingan mewarna, sumbangan kit oral dan home visit.

USIM turut menyumbangkan 6 buah kerusi roda, serta melawat 8 pesakit Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan menyumbang lampin pakai buang dan susu nutrient kepada mereka.

Menurut John Baharyn ketua masyarakat Kg. Orang Asli Panchor, “Program komuniti sejahtera yang diadakan sempena JAKM ini wajar diluaskan ke kampung-kampung lain yang berdekatan kerana ramai penduduk mendapat manfaat yang baik. Mewakili penduduk Kg. Orang Asli Panchor, pihak kami mengucapkan terima kasih kerana telah memilih perkampungan ini sebagai lokasi jelajah komuniti prihatin”.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani yang turut hadir dalam lawatan tersebut berkata, “Sesuai dengan hasrat ‘USIM Cemerlang USIM Disayang’, pihak USIM begitu berbesar hati dapat terlibat dalam menyumbang kepakaran dan pengetahuan kepada masyarakat setempat. Diharapkan, dengan sumbangan ini, USIM mendapat tempat di hati masyarakat dan program-program sebegini diteruskan pada masa-masa akan datang.

Hadir sama dalam lawatan ialah Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Dekan Fakulti Pergigian USIM, Dr. Ainudin Yushar Yusof serta Encik Ahmad Muzaffar Ahmad Bakri, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Governan IPTA, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan