KUALA LUMPUR – Dengan membawa tema ‘Envisioning Moderate Muslims for the Contemporary World’, penganjuran Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024: Islam dan Kesederhanaan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Angkatan Belia Islam (ABIM) merupakan yang julung kali dianjurkan. Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menjadi panel jemputan dalam salah satu sesi perbincangan bersama sarjana jemputan seterusnya merasmikan majlis penutup simposium.

Simposium yang berlangsung selama dua hari bermula 3 dan 4 Julai 2024 ini menampilkan lebih 15 tokoh terkemuka seluruh dunia seperti Presiden Institut Maqasid Kanada, Prof Jasser Auda, Imam Besar Universiti Al-Azhar, Syeikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb, Ketua Esekutif, Cambridge Muslim College United Kingdom, Prof Joel Hayward, Mufti Australia, Dr Ibrahim Abu Mohamad dan beberapa lagi sarjana jemputan dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Naib Canselor Prof. Ts. Dato Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan aluannya berkata, dalam usaha kita mendepani umat Islam dalam kesederhanaan, kita mesti memperkasakan belia, membina komuniti inklusif, dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

“Belia Muslim perlu memperkukuh diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran berfikir secara kritis untuk terlibat dalam perbincangan mengenai Islam dan isu-isu kontemporari. Langkah-langkah praktikal termasuklah mewujudkan platform serta mempromosikan dialog antara agama dengan penglibatan para belia, mengetengahkan nilai-nilai bersama, dan menggalakkan pertukaran budaya untuk mencapai persefahaman bersama yang akan mengurangkan salah tanggapan”, ujarnya lagi.

Simposium ini diadakan untuk mendalami kefahaman prinsip dan nilai Islam moderat yang menjadi asas kepada idea semasa tentang Islam dan kesederhanaan. Selain itu, simposium ini juga penting untuk meneroka strategi dan amalan terbaik memupuk kewujudan bersama secara aman, bersesuaian dengan pengenalan konsep Malaysia Madani sebagai kerangka persada global.

Tambahan lagi, simposium ini juga bertujuan untuk menjelaskan peranan institusi pendidikan tinggi dan karya ilmiah serta dialog akademik, antara Barat dan Timur dalam memupuk keadilan sosial, rasa hormat dan persefahaman kepada Muslim moderat menuju abad ke-15 Hijrah.

Pada majlis yang sama turut diadakan Majlis Konvokesyen Khas USIM 2024 yang menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Al Imam Al Akbar Sheikh Prof. Dr. Mohammad Ahmad Tayyib Sheikh Al Azhar Al Syarif, Imam Besar Al-Azhar.