KUALA LUMPUR – Seramai 120 orang Pasukan Living Lab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terdiri daripada sukarelawan pelajar dan staf serta kerjasama 20 orang dari NGO Food for Gelandangan (FFG) telah menjayakan program Jaulah Sukarelawan USIM 2024: Semarak Siswa Madani (Chapter Kuala Lumpur) dengan menyantuni lebih 200 gelandangan di sekitar Jalan Belia, Chow Kit, Kuala Lumpur pada 20 Julai 2024 baru-baru ini.

Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) USIM dan Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM turut sama turun padang menyantuni dan berkongsi rezeki serta membuat tinjauan mesra khidmat komuniti bersama golongan yang memerlukan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM Living Lab adalah satu pendekatan kepada pelajar menjadikan dunia luar itu sebagai makmal hidup untuk belajar, berkhidmat dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Nilai sukarelawan yang diterapkan kepada mereka ini dapat membentuk jati diri dan sifat cakna masyarakat sekeliling agar dapat mewakafkan tenaga, masa dan kepakaran mereka kelak selain melengkapi ilmu yang dipelajari di universiti,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr Nor Azura Ahmad Tarmidzi salah seorang doktor gigi di Fakulti Pergigian USIM turut berkongsi pengalaman beliau sejak 2016 melibatkan diri dengan program sukarelawanan untuk gelandangan di sekitar Kuala Lumpur ini. “Saya rasa terpanggil untuk membawa pelajar USIM menjalankan aktiviti ini kerana saya rasakan kami harus menyumbang kepakaran yang ada untuk membantu golongan gelandangan ini”.

“Kami menyediakan pemeriksaan gigi secara berkala iaitu pada minggu ketiga setiap bulan, kami akan membuka reruai untuk pemeriksaan gigi, rawatan tampalan, serta servis mencabut gigi secara percuma sekitar sini. Kebanyakan golongan ini amat memerlukan rawatan gigi dan menghadapi masalah untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana bagi mereka nilai RM1.00 yang mereka ada lebih bernilai untuk tujuan ‘makan untuk hidup’”, ujar Dr. Azura.

Dalam pada itu, turut serta adalah Klinik Pakar Mata Bergerak yang diwakili oleh Dr. Maimumah Abdul Muna’aim dan Dr. Husna Hussein dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang memberikan rawatan pemeriksaan mata kepada gelandangan ini.

Program USIM Living Lab pada kali ini turut melibatkan Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Pusat Hal Ehwal Pelajar bagi psiko-pendidikan, Pusat Kesihatan Universiti bagi pemeriksaan kesihatan dan penjagaan diri serta Pusat Kebudayaan untuk persembahan buskers.